Wednesday, June 22, 2011

** pahiTnYa maTa duNia keRana maniSnYa syuRga tuHan **


Kebahagiaan tertunda yang dibayar dengan pengorbanan selalunya terasa manis.Tidak ada satupun di dunia ini hasil karya sendiri.Anda mencapai tujuan anda selalunya berkat bantuan orang lain.


~ Seorang sufi bermadah ~
"Adakalanya kesalahan membuatkan seseorang itu memperbaiki diri.Tidak pernah bersalah itu...boleh mendatangkan sombang diri...oleh itu tidaklah beruntung mencuba biarpun terpaksa berbuat berbuat salah daripada pasrah yang tidak menentu".


~ Nabi s.a.w. bersabda ~
"Sebaik-baik utama perjuangan seseorang terhadap dirinya sendiri dan hawa nafsunya".


~ Kata pemikir Islam ~
"Antara sifat munafik itu salah menganggap nasihat orang sebagai sindiran kepadanya...sebaba itu tidak diterimanya".


~ Ulama' mursyid berkata ~
"Buah akal ialah ilmu pengetahuan...buah jiwa ialah iman...buah fizikal ialah kemajuan...alangkah indahnya kalau ketiga-tiga anggota ini melahirkan buah dalam kehidupan".


~ Istimewa jiwa pengasih ~
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Setia hati yang pengasih mendapat pahala...ubat untuk hati yang terluka ialah iman yang kuat".


~ Saling mencintai ~
"Perumpamaan orang mukmin dalam hal saling mencintai...saling mengasihi dan saling menyayangi bagaikan sebuah tubuh akan merasa sakit...tidak dapat tidur dan terasa demam".


~ Nabi s.a.w. bersabda ~
"Jagalah dirimu daripada api neraka...meskipun dengan sedekah separuh daripada sebiji kurma...jika tidak dapat...maka sepatah kata yang baik".


~ Seorang hamba Allah berkata ~
"Ibadat itu laksana perniagaan...adakalanya kedainya adalah khalwat (bersunyi-sunyian)...modalnya takwa...sedangkan keuntungannya adalah syurga".


~ Segalanya dari syahwat ~
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Hak itu berat dan pahit sedangkan batil itu ringan dan manis...adakalanya suatu syahwat menyebabkan dukacita yang abadi".


~ Kalau hati itu bersih ~
Seorang ulama' berkata,
"Pandangan mata selalu menimpa...pandangan akal selalu tersalah...pandangan nafsu selalu melulu dan pandangan hatilah yang hakiki...kalau hati itu bersih".


~ Wanita syurga bercahaya ~
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Kalau seandainya seorang wanita itu penghuni syurga datang ke bumi...nescaya akan memancarkan cahaya terang benderang".


~ Pohon syurga ~
Rasululllah bersabda,
"Sesungguhnya di dalam syurga ada sebatang pohon di mana orang berkenderaan berjalan di bawah naungannya selama satu tahun belum sampai melepasinya".


~ Seorang soleh berkata ~
"Sesiapa tidak ada ilmu dan sesiapa tidak ada agama dan sesiapa tidak ada sifat watak bererti dia tidak dekat dengan Tuhannya".


~ Sejahat jahat musuh ~
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sejahat-jahat musuh engkau adalah nafsu yang berada antara dua rusuk engkau".


~ Balaslah jasa orang ~
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Siapa menghulurkan kepadamu suatu kebaktian maka balasilah dia...jika kamu tiada apa-apa balasan...maka hendaklah kamu doakan kepadanya".


~ Kematian kekasih ~
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Tidak ada balasan bagi hambaku yang mukmin jika aku ambil kekasihnya (mematikan orang yang dikasihinya dari ahli dunia) kemudian dia sabar melainkan syurga".


~ Tegas demi kebenaran ~
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
"Janganlah sekali-kali wibawa manusia itu melarang seseorang untuk mengatakan yang hak apabila dia telah mengetahuinya atau menyaksikannya atau mendengarnya".


~ Istimewa solat malam ~
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
"Biasakanlah sembahyang malam sebab kebiasaan orang solehin yang sebelum kamu dan mendekatkan kamu kepada Allah dan mencegah kamu daripada dosa dan menebus dosa-dosa dan mengusir penyakit dari badan".


~ Kau kira kau bijak ~
Seorang soleh mengingatkan,
"Kau kira bijakkah mendapat semua ilmu dunia...padahal kaulah yang paling bodoh kerana tidak tahu ilmu akhirat".


~ Manisnya iman ~
Seorang ulama' berkata,
"Orang yang mengenal Allah dengan ilmu seperti seorang yang mengenal gula tetapi belum merasainya...orang yang mengenal gula Allah dengan hati seperti orang yang merasai gula dan sering merasa kemanisannya".


~ Amalan Islam terbaik ~
Seorang lelaki bertanya,
"Manakah amalan Islam yang terbaik?"
Nabi Muhammad s.a.w. menjawab,
"Memberikan makanan...mengucap salam baik kepada orang-orang yang dikenal mahupun kepada orang yang tidak dikenal".


~ Kejelitaan akan pudar ~
Seorang ulama' berkata,
"Kemudaan akan hilang...kecantikan akan pudar...kekuatan akan lemah...tua akan datang...kematian pun meragut secara tiba-tiba...jadi mengapa lupakan Tuhan?"


~ Mata yang beku ~
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Ada empat perkara yang membawa celaka...iaitu mata yang beku (taksudi mengeluarkan air mata) kesat hati...pangang angan-angan dan tergoda oleh dunia".


~ Jika engkau mahupun kemesraan ~
Seorang bijak pandai Islam berkata,
"Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah...maka engkau mesti garang terhadap dirimu sendiri...tidak mengikut segala nafsumu...kalau engkau sudah merasakan manisnya berhubung dengan Allah...tahulah engkau bagaimana pahitnya berpisah denganNya".


~ Jangan banyak cakap ~
Rasulullah s.a.w bersabda,
"Tinggalkan bicara berlebihan dan cukup bagimu perkataan apa yang telah dapat menyampaikan hajatmu".


~ Kata pemikir Islam ~
"Gunung yang tinggi tidak boleh menakung air...tetapi lembah yang rendah boleh menjadi tasik yang saujana luasnya...ertinya orang yang meninggi diri tidak jatuh hati orang kepadanya...sebaiknya horang yang merendah diri dapat meminta hati orang tanpa bersusah payah lagi".


~ Belajar dengan buku ~
Seorang ulama' berkata,
"Orang yang belajar dengan kehidupan mendapat pengalaman...orang yang belajar dengan buku dan guru mendapat ilmu".


~ Fikiran bak mutiara ~
Seorang ulama' berkata,
"Berfikir taraf tinggi itu ialah berfikir yang dipimpin oleh jiwa...hasilnya fikirannya bak mutiara".


~ Istimewa diam ~
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
"Kawan yang baik lebih baik daripada duduk sendiri dan duduk sendirian lebih baik daripada kawan yang jahat dan mengutarakan kebaikan lebih baik dari diam dan diam lebih baik daripada berkata tidak baik".


~ Jika Allah kasih ~
Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya jika Allah berkehendak kebaikan terhadap hambanya maka dijadikan dosa-dosa terbayang diruang mata hambanya dan jika menghendaki binasanya maka dilupakan akan dosa-dosanya".

sumber> khas untuk muslimah

~ Bahagia buat mereka yang bertemu cinta yang Teragung
yang membawa ke Syurga Hakiki dan abadi ~





Sunday, May 15, 2011

** isTimeWanYa seOranG musLiM **


"Hujan pagi hari, rintik-rintiknya halus dan jernih sejak kelmarin. Namun malang, sejuknya tidak sampai ke petang. Betapa pun, syukur Alhamdulillah. Itulah rahmat Tuhan.
Terkadang, ingin rasanya hati ini turut disirami hujan. Biar dingin. Biar nyaman. Moga subur tanah hati dengan baik. Kadang kala, hati harus akur. Tidak selamanya hujan akan mencurah. Tetap ada kemaraunya. Hari ini hujan pagi. Esok, mungkinkah kemarau?" Getus hati Abdullah Soleh sebelum matanya tertutup.
Keesokannya, Abdullah Soleh dengan semangatnya mengharungi hari terakhir sebuah program kem motivasi untuk pelajar-pelajar institut pendidikan tinggi di tempat mereka.
Slot terakhir motivasi bagi program tersebut bertajuk "Istimewanya Diri Kita".
"Baik, siapa boleh beritahu kita di sini keistimewaan dirinya?" Satu soalan dilontarkan kepada mahasiswa dan mahasiswi oleh motivator tersebut.
"Saya nak jawab!" Sambut seorang mahasiswa yang bergaya dengan nada yakin.
" Assalamualaikum semua. Di sini saya nak beritahu apa keistimewaan saya, istimewanya saya ialah saya berkeyakinan tinggi, saya bijak berpidato, dan saya yakin bahawa saya mampu menjadi pemimpin negara suatu hari nanti." Kata mahasiswa tersebut dengan penuh keyakinan.
Siswa dan siswi lain juga memberi maklum balas terhadap soalan tadi. Ada yang beritahu keistimewaannya ialah menyanyi, bermain bola, pandai bergurau dan macam-macam lagi.
Hampir semua siswa dan siswi memberi maklum balas terhadap soalan tadi. Lalu, Abdullah Soleh bangkit berdiri untuk turut sama memberitahu keistimewaan sendiri.
"Saya mahu beritahu keistimewaan saya! Keistimewaan saya ialah saya seorang Muslim, mengapa saya berkata begitu? Biar saya jelaskan. Dengarlah sahabat-sahabatku terutamanya yang beragama Islam. Sedarlah! Diri kita tiada ertinya jika Islam bukan agama yang dianuti, tiada ertinya jika kita bukan seorang Muslim.
Sedarlah! Betapa istimewanya kita dapat merasai nikmat Iman dan Islam, betapa istimewanya kita dalam berbillion kalangan umat manusia di dunia ini kita yang terpilih merasai nikmat Iman dan Islam, tanpa nikmat Iman dan Islam mungkin kita boleh berjaya di dunia dengan kelebihan-kelebihan yang Allah anugerahkan, akan tetapi di akhirat sana kita pasti akan kecewa serta merana.
Sedarlah! Seorang Muslim itu sangat istimewa, kerana apa? Kerana kita mempunyai Allah Yang Maha Kuasa. Waktu kita susah dan senang Dia sentiasa ada, malah ketika kita sakit, Dia menghapuskan dosa-dosa kecil kita serta ditambah lagi dengan ganjaran pahala jika kita bersabar menghadapi ujian dari-Nya.
Jika kita lihat, ujian yang hadir itu bukan untuk menghukum kita tetapi memberi peringatan kepada kita yang lalai. Umpama seorang ibu menegur anaknya dengan penuh kasih sayang agar anaknya sentiasa di jalan yang benar. Begitulah perumpamaannya.

 

Namun kasih sayang Allah lebih lagi daripada kasih sayang seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Tidakkah anda semua berasa istimewa dengan nikmat Iman dan Islam ini? Bukankah ini suatu keistimewaan yang terulung kepada diri anda? Maha Suci Allah yang menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi! Apa pun musibah yang menimpa seorang Mukmin, selalu menguntungkan dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. dalam sebuah hadis:

"Amat menakjubkan sikap seorang Mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan Mukmin. Jika dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya." (Riwayat Muslim)


Seorang Mukmin apabila ditimpa kesusahan, dan dia mengingati Allah, dengan jalan itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yang terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya dan pertolongan dari-Nya. Rasulullah S.A.W. pun bersabda: "Ingat akan Allah adalah penawar kalbu," Diriwayatkan oleh ad-Dailami oleh Anas.
Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkan firman Allah S.W.T:

"Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui." (QS. Al-Baqarah: 216)

Maka setelah ini wahai jiwa pemuda, jangan biarkan kita hanyut dalam ilusi yang berpanjangan terhadap apa-apa yang terlepas dari genggamanmu, dari dakapanmu. Kita lihat di sekeliling kita, kemudian cerminlah diri sendiri. Andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, mulai hari ini ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!
Manusia yang mulia adalah yang menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah seorang hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar- benarnya, baik secara teori mahupun praktikal. Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik bagi kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya, dan lebih dari itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan 'kecantikan' Maha Pemurah.
Andai ternyata keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah S.W.T., ternyata apa yang diharapkannya esok hari tidak menjadi nyata, malah yang terjadi adalah sesuatu yang sebaliknya, maka kita mesti tetap ikhlas dan berbanggalah kita seorang Muslim! Takbir!
"Allahuakbar!"sambut rakan siswa dan siswa yang lain.


 

Ingatlah sahabat sekalian.
Islam tidak pernah mengecewakan kita tetapi kita yang selalu mengecewakan Islam, kita yang membiarkan Islam terus layu. Kita tidak bangga dengan nikmat Iman dan Islam yang kita miliki. Kita lebih berbangga dengan hiasan-hiasan dunia yang tidak kekal lama. Peringatan ini juga buat diri saya yang kerdil dan hina ini. Sekian terima kasih."
Tepukan gemuruh mula memecah suasana di dalam dewan kem tersebut.
Hebatnya jiwa pemuda, hebatnya jiwa pemuda Islam. Allahuakbar!!


 

-Artikel Iluvislam.com

Friday, April 29, 2011

** unTuk aDam **

Adam...
Kalau kami tidak membalas salammu, kami dikatakan sombong,
Kalau kami diam apabila ditanya, dikata berlagak pula,
Kalau kami tidak senyum kepadamu, dipanggil poyo,
Kalau kami tidak membalas smsmu, dikatakan kerek.
Adam...
Perempuan bagaimanakah yang engkau mahu jadikan isteri?
Adakah seorang perempuan yang dengan senang hati memberi salam kepada semua lelaki?
Atau perempuan yang melunakkan suara apabila bersuara?
Serta perempuan yang murah senyum dan tawanya untuk semua?
Ataupun...
Perempuan yang sentiasa berkepit dengan telefonnya,
Tidak hirau sekeliling semata-mata meluangkan masa untuk bersms denganmu?
Begitukah calonmu wahai Adam?
Ketahui wahai Adam,
Sesungguhnya, perempuan itu manja,
Suka dibelai, Suka dikasih,
Namun, Adam...
Tahukah kamu apa erti batas pergaulan?
Janganlah sewenang-wenangnya engkau memanggil kami sombong, berlagak, poyo atau kerek.
Kerana...
Kami begitu untuk menjaga aib kamu,
Membantu kamu menghindari diri dari belenggu dosa,
Menjauh dari kehinaan,
Kerana kami merupakan fitnah dunia,
Fitnah bagi kamu.
Adam...
Kami ini insan yang lemah,
Janganlah kau cemari iman kami,
Janganlah kau rosakkan mujahadah kami,
Janganlah kau kotori kasih dan cinta kami pada Ilahi,
Kerana kami sedang berperang melawan nafsu,
Sedaya upaya menahan diri daripada godaanmu.
 Adam...
Andai kau kasih dan sayang pada kami,
Andai kau mahu membela nasib kami,
Andai kau mahu perempuan solehah menjadi suri dalam taman hati,
Ibu kepada bakal pejuang agama,
Doalah buat kami,
Doalah jua buat dirimu,
Agar ada redha Allah dalam setiap amalanmu dan kami...
Kerana Adam adalah pembela kami.



copy from here

Friday, April 1, 2011

** sYaiTan iTu kReaTiF **



Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?

“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.

Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran…tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.

Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!

KISAH TIDAK LAMA DULU

Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.

“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.

“Hidayah bang…” jawabnya si dia pendek.

“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.

“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”

“Syukur,” kata saya perlahan.

Setahun kemudian.

“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.

“Betul ke ni?”

“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”

Saya terdiam. Kaku.

“Mana pergi tudungnya?”

“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.

“Itu tudung?”

“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”

“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir.

Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.

“Bang saya insaf bang…“

Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?

Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!

Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:

“Syaitan terlalu kreatif…” Kreatif? Bisik hati saya.

Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.” Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-was’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.

Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.

Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:

Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.” Apa ertinya? “Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…

“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”
“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.

“Aku tak faham. Maksud kau?”

“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”

“Lantas?”

“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”

“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”

“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”

“Jadi kebenaran menolak keindahan?”

“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!

“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.

“Transisi? Apa maksud mu?”

“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”

“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”

Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.

“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”

“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”

“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading – maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.

“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?.”

“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”

“Maksud kau?”

“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”

Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit! 


~moga dapat manfaat bersama... (n_n)

copied from here...

Saturday, March 5, 2011

** tHaNk yOu AllaH **

Alhamdulillah...Segala puji hanya buatMu Ya Ilahi...
Tiada kata yang mampu kuungkap utk menggambarkan perasaan ini...
Ada rasa syukur,gembira,terharu,sedih atas nikmat kejayaan ini...
Semua ni berkat pertolonganMu sepanjang aku melalui 'fasa' exam yg mndebarkan...huhu... 
Doa ibu dan ayah tercinta, restu dan ajaran lecturer n...pertolongan sahabati tersayang jgk...
Benarlah kata seorang ulama',
"Tiada KEJAYAAN semanis madu tanpa PENGORBANAN sepahit hempedu..."

Saya setuju 120% !!
Indahnya bila usaha n penat lelah kita akhirnya menghasilkan KEJAYAAN yg bermakna sgt2...
PENGORBANAN yg pahit 2 dibalas dgn KEJAYAAN yg manis...
Syukur ALHAMDULILLAH...
Seronok rasanya dpt membanggakan kedua org tua kita n guru kita yg m'nabur t'lalu BANYAK JASA pd kita...

Ya Ilahi,kuharap kejayaan ni akan kukecapi lg di masa akn dtg...
Moga kegagalan yg pernah kutempuhi dulu akan mematangkan diri utk mencapai kejayaan dunia akhirat...
Sebagai hambaNya,kita ni hanya insan yg lemah, kadang2 kita terjatuh,tersungkur...tapi percayalah pasti ada hikmah disebalik ujian yg Allah bg kat kita 2...
Saya percaya sgt2 dgn kata2 ni... 

"Kejayaan TERBESAR bukanlah kerana kita tak pernah gagal tetapi kita bangkit kembali menempa KEJAYAAN..."

Moga kata2 ni dpt jadi sumber inspirasi utk kita bangkit kembali menempa kejayaan walaupun kegagalan dtg beribu kali...
Semangat kita kena kuat...
chaiyok2!!




Oh Tuhan,
Berkatilah ku dalam mencari ilmu...
Dengan redhaMu...
Moga kujejaki...
Tempat yang dituju...
Ameen Ya Rabb...

~ impianku utk menggenggam segulung ijazah...Ya Ilahi, moga Kau permudahkan ~

Tuesday, February 1, 2011

** jauHkaN rinDu **


Bila rindu kembali menjengah,
Menyusup datang melalui sekeping gambar,
Begitu terasa bibirku bergetar,
Begitu terasa kakiku makin longlai.

Ku lihat pada jari-jemariku,
Menggigil dalam bahang tengah hari,
Ku sentuh pada bibirku,
kering mengelupas,
Ku letakkan tangan pada dadaku,
Degupannya menjadi deras.

Ku lihat wajahku dalam refleksi,
Warnanya pucat membiru,
Tiada kilauan dalam mata,
Tiada cahaya pada wajah.
Hanya kelesuan jelas kelihatan.

Yang lain menggelar rasa ini 'cinta',
Lalu mereka hairan aku menolak 'cinta',
Tapi aku pasti ianya adalah 'petaka' ,
kerana rindu ini rindu yang memusnahkan,
Rindu ini rindu yang mencemarkan,
Kerana rindu ini rindu yang tidak halal untukku,
Kerana rindu ini boleh mengundang dosa.

Dahulu,
Jika rindu yang sama bertandang,
Akulah insan paling bahagia.

Kini,
Jika rindu yang sama bertamu,
Akulah insan paling sengsara.

Aku tak mahukan rasa ini,
Aku tak mahukan rindu ini.

Rindu ini yang dahulu telah melalaikanku dari mengingati-Mu,
Rindu ini yang dahulu menghalangku dari kemanisan beribadat kepada-Mu,
Rindu ini yang dahulu membutakan mataku dari melihat jalan-Mu,
Rindu ini yang dahulu membinasakan cinta suci hamba-Mu.

Rabbi,
Jangan kau benarkan rindu ini menggigitku,
kerna aku takut dihinggapi virus cinta buta.

Rabbi,
Jangan kau biarkan rindu ini menghantuiku,
kerna aku takut pada bayangannya,
Kerna ku tahu jatuh cinta itu,
Hanya bisa pada Tuhan,
Kerna ku tahu nafsu ini,
Sering membawa ke arah kejahatan,
Yang datang dari godaan syaitan.

Rabbi,
Ku mohon,
Jauhkanlah aku dari 'petaka' rindu ini,
Hadirkanlah aku pada cinta-Mu,
Cinta yang kekal dan abadi


Saturday, January 15, 2011

** unTukmu gadiS yanG beRgeLar reMaja **


Kisah ini dipetik dari seorang hamba Allah...
Moga jadi renungan bersama...

Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa (bukan nama sebenar), seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki.
Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu.
Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah.
Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.
Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas,ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka.
Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,"cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung.
Sampai kawan-kawan annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan.
Annisa ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"
Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata adik. Kadang kala saya terlihat ibu menangis di akhir malam.Dalam Qiamullailnya.Terdengar bait doanya " Ya Allah, kenalkan annisa dengan hukumMu".
Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami.Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil.
Suaminya bernama Abu khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid.
Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli.
Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya, "abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?"
Lalu saya menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri".
Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik.
Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku?
Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu.
Saya sendiri jadi bingung. Bingung campur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib.
Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau kawan-kawan wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah.
Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri.
Tak ketinggalan tahajudnya, baca Qur'annya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan.
Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya.
Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di Kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak.
Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah (rumah saya di Madiun).
Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik diberi kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan.
Ketika saya sampai di rumah...di depan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar, tak dapat ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah.
Saya lihat ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya.
Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya". Air mata ini tak dapat ditahan lagi!!
Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari.
Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya.
Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini.
Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu khoiri. Di situ tertera soal jawab antara adik dan isteri jiran kami itu.
Butirannya seperti ini, soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)
Annisa: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!
Isteri jiranku: Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.
Annisa: tapi mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.
Isteri jiranku: Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?
Annisa: Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik.
Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?
Isteri jiranku: Annisa, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita!
Annisa: Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.
Isteri jiranku: Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.
Annisa: apakah hakikat tudung?
Isteri jiranku: Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia.
Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.
Annisa: Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?
Isteri jiranku: Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT.
Duhai nisa, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua.
Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis.
Menangis kerana hari itu Allah SWT murka! Belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu.
Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab.
Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat, Yang Maha Agung, Allah SWT.
Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya.
Subhanallah! Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu
"buta, tuli dan bisu... wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya, wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"
Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya. Amin.
Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua, wassalam...

duhai gadis remaja,
lindungilah dan hiasilah dirimu dgn hijab yg diperintahkan oleh Allah,
ikhlaskanlah hatimu seikhlas-ikhlasnya buat Allah...
Dia lebih tahu yg TERBAIK buatmu...
moga istiqamah dlm menutup aurat...
insyaAllah,ameen...

renungilah bait-bait ini...
moga dpt dijdkn pedoman bersama buat
yg bergelar wanita...