Wednesday, December 29, 2010

** daLam sujuD teRakHirKu **

Dalam sujud terakhirku,Ya Allah...
kuteriakkan Asma-Mu sekeras-kerasnya,
agar runtuh dinding kesombongan dalam hatiku,

Dalam sujud terakhirku,Ya Rabbi...
kumenangis sejadi-jadinya,
biar kering mata ini,

Dalam sujud terakhirku,Ya Rahman...
kulihat semua dosa yang membayangiku,
kelam mencengkam jiwa yang lusuh,

Dalam sujud terakhirku,Ya Rahim...
biarkan aku patah dalam cahayaMu,
biarkan kumusnahkan titik-titik kemunafikanku,
agar ku kembali dalam pelukan hidayahMu,

Dalam sujud terakhirku,
biarkan aku hirup nafasku sekali lagi,
hanya untuk menyebut namaMu dan kekasihMu tercinta...

sumber> khas utk muslimah

p/s: hayatilah bait-baitnya,sungguh menginsafkan kita sebagai hambaNya,sesungguhnya detik-detik kematian itu akan tiba pada suatu ketika...selagi kita masih bernafas di dunia ini,tunaikanlah kewajiban kita sebagai hambaNya...jangan menunggu masa tua untuk beribadah...mulakan di zaman muda...kerana sesungguhnya ALLAH suka orang muda yang kuat beribadat...semoga bait-bait kata ini bermanfaat untuk diriku dan umat yang lain...ameen...

Wednesday, December 22, 2010

** haDiah teRinDah dariMu **





CintaMu
hadir dari ujian yang Kau beri padaku
Kau selalu ada saat duka dan tawa
Diriku selalu dalam perhatianMu
Dan Kau selalu dalam ingatanku
Indahnya cintaMu Allah...
Kaulah cinta sejatiku...
Cinta yang sentiasa dibalasi...

Islam
Agama terindah pegangan hidupku
Segala kemanisan terkandung disebaliknya
Lagi indah bila mengamalkannya diiringi dengan...
Iman
Nikmat bagi hati-hati yang percaya adanya
Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Qiamat
Qada' dan Qadar
Bagi mencapai tahap tertinggi, Ihsan...
Moga dimakbulkan olehMu...


HidayahMu
adalah cahaya hidupku
Yang menyinari hari-hariku dalam melayari
bahtera dunia yang penuh onak duri
Tanpanya aku hilang arah
Terasa gelap dan jauh dariMu...

Ketenangan
Saat mengingatiMu di setiap helaan nafas ini
Saat bermunajat penuh ikhlas
mengadu hati padaMu kerana
tak mampu kukongsi dengan insan...



SyariatMu
Bagi menjaga diri ini...
Indah sungguh peraturanMu buat hamba-hambaMu
Buatku yang bergelar wanita
Hijab sebagai hiasan wanita solehah...
Yang menjadi perisai bagi memelihara maruah diri ini...



Keluarga
yang menyayangi diri ini
pinjaman berharga dunia
Sahabat
jalinan ukhwah terindah keranaMu
indahnya saat bersama
Guru
pendidik dan cahaya bagi hati-hati yang sentiasa dahagakan ilmu
Moga kita semua bertemu lagi di syurga abadi...
Ameen...



Alhamdulillah...
Saat ini kubahagia merasai hadiah terindahMu
Tak sanggup jika kehilangannya
Moga selalu dalam redhaMu

Sebagai hamba
Inginku balasi hadiahMu dengan keikhlasan yang tak berbelah bahagi untukMu
Hanya untukMu...

Hakikatnya hadiah yang akan kuhulurkan
tak mampu menandingi hadiahMu
Kerana aku hanya insan yang punyai seribu kelemahan
maafkan aku andai aku tak sempurna...

Di sini,aku ada permintaan,
hanya Kau yang bisa menghadiahkannya untukku...

Ya Allah,
Hadiahkan aku cintaMu yang membawa aku ke syurgaMu yang abadi...
Hadiahkan aku islam dan syariat yang indah saat mengamalkannya...
Hadiahkan aku iman yang cekal dan teguh dalam mempercayaiMu...
Hadiahkan aku hidayah yang kekal menuju jalan yang diredhaiMu...
Hadiahkan aku akhlak terpuji walaupun tak setanding akhlak kekasihMu...
Hadiahkan aku hati yang ikhlas beribadah dan beramal untukMu...
Hadiahkan aku kekuatan untuk meneruskan perjuangan RasulMu...
Hadiahkan aku ketenangan saat bermunajat dan mengingatiMu...
Hadiahkan aku hijabMu bagi menjaga maruah diriku...
Hadiahkan aku keluarga yang sentiasa berkasih sayang keranaMu...
Hadiahkan aku sahabat-sahabat yang ikhlas berukhwah demiMu...
Hadiahkan aku cinta sejati dan kasih abadi seorang suami yang
mencintai diri ini kerana cintanya padaMu
yang berhajat untuk mendirikan baitul muslim hingga syurga...



                                 ~ Ameen Ya Rabbal Alamin ~

Luahan hati yang sentiasa merindukanMu Ya Rabb...

Sunday, November 7, 2010

** bunGa iDaman **

Petang tadi terlihat kepadaku sekuntum bunga. Kelopaknya indah dan berwarna-warni. Aku cuba mendekatinya tapi niatku terbantut tatkala melihat duri-duri tajam di batangnya; pasti duri-duri itu akan melukai jemariku.
Aku cuba mencium baunya tetapi amat payah lantaran sukar memegangnya. Aku mengeluh sendiri mencari bunga cantik yang bisa kusentuh lalu kuterlihat kepada sekuntum bunga tidak jauh dariku.
Aku menghampiri bunga itu.
Ia nampak cantik dari jauh. Kulihat batangnya yang tidak berduri, lalu aku sentuh dan aku cuba menciumnya tapi tak lama kemudian aku lepaskannya.
Baunya cukup membuatkan aku loya lalu aku terdengar suara manusia lain dibelakangku; sepasang adam dan hawa sedang bermanjaan. Lagak mereka sungguh menjengkelkan.
Aku mengumpat di dalam hati; rasa marah bila hukum Tuhan tak diendahkan.
Tak lama kemudian si adam memarahi si hawa. Aku hanya melihat dari jauh seperti menonton drama di televisyen lalu si adam meninggalkan si hawa seorang diri. Dia membiarkan gadis manis itu menangis hiba.
Pada masa yang sama aku terpandang seorang hawa berpakaian serba sopan, sederhana gayanya. Dia berjalan tidak jauh dariku.
Pakaiannya labuh tidak meransang nafsu. Alangkah senang hatiku melihatnya. Dia berjalan sambil menundukkan pandangannya. Adam di sisi langsung tidak menegur bukan kerana benci tetapi tanda hormat.
Aku tersenyum sendiri teringatkan dua kuntum bunga yang baru tadi aku lihat.
Aku mula bermonolog..
Bunga yang berduri itu pasti susah didekati sang kumbang. Bunga yang busuk itu pasti sudah dihisap madunya oleh sang kumbang lalu kumbang itu meninggalkannya setelah puas madunya dihisap.
Aku melihat kembali ke arah dua hawa tadi lalu aku bingkas bangun.
Siapakah aku?
Aku tergolong dalam kelompok bunga yang mana?
Tiba-tiba aku menangis merenung diriku sendiri...
"Ya Allah! Jadikanlah aku bunga idaman para mujahid... bunga idaman agama! Aku mahu kelopakku indah tanpa sedikitpun kotoran. Jadikanlah aku wanita solehah, wanita mukminah!"
Moga diriku seperti Khadijah, Masyitah, Aisyah, Muthiah dan Ainul Mardiah! Aku ingin menjadi bunga idaman Islam.

sumber : iluvislam

Sunday, October 24, 2010

** keNapa paKai tuDung beSar-beSar ni tak rimaS?

Pada suatu petang....berhampiran surau Fakulti Perakaunan, UUM.

Seusai solat, saya mengambil tempat di sisi seorang perempuan melayu yang tidak bertudung. Sambil saya membetul-betulkan lipatan tudung, perempuan di sebelah saya menegur.

" Awak, boleh saya tanya?"

"Hmm, iya..boleh" Jawab saya sambil tersenyum.

"Kenapa awak pakai tudung besar-besar ya..tak rimas ke?" Dia bertanya.

Saya terdiam. Tak menyangka, itu soalannya.

"Tapi kenapa ya?"

"Tak ada apa-apa..saja nak tahu, sebelum ni tertanya-tanya sendiri je" Dia menjawab. Kelihatan dia benar-benar ingin tahu.

Saya tersenyum. Fikiran ligat berputar mencari jawapan yang sesuai. Lama merenung jauh, akhirnya tercerna satu idea.

" Hmm...sebelum saya jawab soalan tu, saya nak tanya awak dulu,boleh?"

Dia mengangguk

"Kenapa ya kalau kita naik kereta digalakkan pakai seat-belt ya? " Saya bertanya dia kembali tanpa menjawab dulu persoalannya.

"erm.." Dia berfikir smbil tangannya memegang dagu mencari jawapan.

" Sebab nak selamat la. kalau apa-apa berlaku, atleast kecederaan tu tak la teruk" dia menjawab ringkas.

"Ok, tapi itu kalau berlaku kemalangan kan. Macam mana pula kalau orang yang pandai dan cekap dalam memandu. Perlu ke dia pakai seat-belt ? Saya bertanya lagi untuk menduga.

"Eh, kenalah pakai jugak. Even dia dah cekap memandu like Michael Schumache, kenalah pakai jugak sebab kemalangan tu tak mengira siapa..kan? Satu lagi, kadang kemalangan tu bukan sebab kita pun, tapi ada kes kemalangan sebab pemandu lain yang tak berhati-hati akhirnya kita yang menjaga ni pun menjadi mangsa, kan?" Dia bertanya kembali.

"So, apa kaitannya kesalahan pemandu lain dengan selt-belt pulak" Saya terus bertanya.

" Yelah, nak menunjukkan bahawa selt belt tu sangat penting sekarang, sebab pemandu-pemandu jalan raya bukannya semua berhemah. Jadi untuk keselamatan, pakai seat-belt. Kalau dilanggar sekalipun kita tak la cedera teruk atau tercampak keluar"

"Tak rimas ke? kadang orang-orang tak selesa pakai seat-belt, katanya rimas"

"Alaa, nak selamat kenalah tahan sikit, kan..soal keselamatan, kena jaga"

Saya tersenyum mendengar penerangannya. Hampir sampai pada tujuan persoalan.

"Hmm, itulah jawapan saya pada persoalan awak tadi. Kenapa saya bertudung besar."

Dia terus memandang saya dengan dahinya yang berkerut.

"Ok, lets me explain ya. Persoalan kenapa saya pakai tudung yang besar-besar sama sahaja dengan jawapan awak tadi tentang kenapa kita pakai seatbelt bila memandu. Tujuannya sama. iaitu keselamatan" Saya menjawab mengikut jawapannya pada persoalan tadi. dan dia semakin merenung saya sambil berfikir.

"Tapi kalau tak pakai seat-belt, tak apa-apa kan? Tak berdosa, kan? Asalkan kita yakin kita mampu memandu dengan baik.Tapi yakin ke kita bila kita memandu tanpa memakai seat-belt walaupun memandu dengan baik dan berhemah, kita akan selamat?"

Dia menggeleng kepala tanpa suara.

" Hmm, thats why saya cuba menjaga keselamatan hidup saya dengan tudung yang besar. Sebab saya tak tahu apa bencana yang sedang menanti. Semuanya untuk tujuan keselamatan ditambah pula dengan galakan agama yang suruh kita menjaga pemakaian yang lebih selamat'. Iya, tudung kecil atau tudung biasa tak mengapa, asalkan mampu menjaga diri sebab dunia sekarang, tau-tau je la kan, banyak godaanya. Kadangkala hanya kita yang berhemah di jalan, tetiba sedar-sedar kita kena langgar, nasib baik pakai seat-belt...hehehe".Saya tergelak kecil. Berharap agar mengundang bibit mesra dengannya.

" Dan satu lagi, kereta sekarang macam-macam gaya dan jenama, kan? Orang ramai tergilakan kereta-kereta canggih sehingga lupa nak menjaga keselamatan. Ramai je yang berkereta canggih tapi akhirnya tercampak keluar dari keretanya sendiri apabila berlaku kemalangan yang tidak diigini. Macam tu jugak tudung, sekarang ni macam-macam fesyen, tapi masih lagi tak ikut syariat. Ketat sana, singkat sini. Bukankah itu membahayakan hidup? " Saya tersenyum. Sedaya upaya membuatkan dia terus berfikir.

"Tudung besar yang saya pakai ini bukan untuk mintak penghormatan daripada sesiapa pun. Tapi tak lari dari tujuan keselamatan. Selamat untuk diri sendiri, selamat untuk orang lain dan juga yang penting, saya nak cuba penuhi galakkan agama supaya menjaga diri melalui pemakaian."

"So, persoalan rimas atau tak, dah terjawab tadi..kan?" Saya bertanya kembali. Dia memandang bebola mata saya mencari pengertian.

"Tak rimas ke pakai tudung besar-besar?. Hmm, hanya yang pakai sahaja yang tahu. Kadang tu rimas jugak la, lebih-lebih lagi musim panas. Tapi tahan sikitla, sebab prinsip kita untuk jaga keselamatan. Sebab itu, pemandu yang paling berhemah adalah pemandu yang sentiasa menjaga keselamatannya..betul tak? Saya terus bertanya. Dan dia mengangguk.

"So, faham tak kaitan antara tudung besar dengan seat-belt?" Saya bertanya dengan lembut, memancing kefahamannya..

Dia mengangguk...

"Maaf, saya pergi dulu ya..kelas saya dah nak start" Saya bangun dari kerusi dan mohon mengundur diri.

" Iya" Jawabnya ringkas, masih lagi seolah-olah memikirkan sesuatu.

Saya berjalan meninggalkan dia menuju ke kelas sambil brmonolog sendirian.

'Hmm, ada kaitan jugak ya seat-belt dengan tudung besar ni..sebelum ni tak pernah terfikir' Tersenyum saya..moga hari ini sedikit ilmu itu mampu meluaskan selautan kebaikan...dan membukakan jalan buat mereka yang mencari jalan.. ameen.

dan saya..terus berjalan, sambil membetulkan 'seat-belt' saya yang asyik terasa longgar sahaja pin'nya...kena pakai betul-betul nanti tak selamat...hehe...

copied from>
~http://ainatulsholehah.blogspot.com/
~pembina.com.my

** bolehkaH beLajaR iLmu tanPa beRGuRu? **

Sejak kebelakangan ini, kita sering kedengaran seruan dan juga saranan supaya mendalami perbahasan para ulama cukup sekadar berpandukan buku-buku yang dibeli sahaja tanpa perlu merujuk dan bertalaqqi dengan para ulama.
Mereka juga turut merasa yakin dengan kefahaman sendiri seolah-olah menyamakan taraf ilmu agama yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada para ulama dengan ilmu-ilmu keduniaan yang lain.
Maka muncullah golongan tertentu yang merasakan diri mereka sudah cukup layak untuk masuki di dalam bidang ini hasil bacaan buku semata-mata.
Gejala ini mengundang pelbagai kesan negatif di antaranya kelemahan mereka memahami dan mendalami perbahasan sesuatu bidang ilmu itu dengan gambaran yang sebenarnya.
Ini kerana ilmu Islam bukan sahaja mencakupi fakta dan kenyataan semata-mata, bahkan ia memerlukan kefahaman yang jelas daripada dada-dada para alim ulama yang mengambil ilmu daripada ulama terdahulu sehinggalah sampai kepada Rasulullah SAW.
Tanpa bimbingan daripada ulama atau guru, jikalau berlaku salah kefahaman ketika membaca, seseorang itu akan terus sesat dengan kefahamannya tadi bahkan terus menyesatkan orang lain pula.
Disebabkan itulah muncul kenyataan bahawa belajar agama seorang diri dengan buku semata-mata tanpa bimbingan ulama/guru seumpama bergurukan syaitan (walaupun kebanyakkan ulama berpendapat kenyataan ini bukan hadis tetapi Ibnu Arabi di dalam kitabnya al-Futuhat al-Makiah berpendapat bahawa kenyataan ini adalah hadis).
Memandangkan perkara ini telah menjadi perdebatan hangat, maka saya ingin mengambil sedikit ruang untuk menjelaskan perkara ini.
Semoga penjelasan ringkas ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.
InsyaAllah.
Alim Ulama Adalah Pewaris Para Nabi
Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami.
Perkataan ulama ini telah disebutkan pada beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW. samaada secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan mendalam dan memiliki akhlak terpuji.
Oleh itu, ulama yang saya maksudkan di sini ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama.
Para ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan sempurna.
Mereka juga bukan sahaja setakat memahami dalil-dalil dan penjelasan daripada ulama silam, bahkan ada diantara mereka menghafal ratusan ribu hadis, matan-matan ilmu dan sebagainya lagi untuk melayakkan mereka diistilahkan sebagai seorang ulama.
Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka bersumberkan dari Rasulullah SAW. Agama Islam telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris para nabi sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis:
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. - Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah
Oleh itu, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa ulama adalah golongan yang mendapat kelebihan dan kemuliaan di sisi agama Islam dengan mengiktiraf mereka sebagai pewaris para nabi.
Memandangkan ulama mendapat tempat yang istimewa juga di dalam masyarakat, maka ramailah pula golongan tertentu seolah-olah mendakwa diri mereka sama tarafnya dengan ulama sedangkan mereka baru sahaja mengecapi permulaan memahami ilmu-ilmu Islam.
Golongan seperti inilah yang akan merosakkan syariat agama sedikit demi sedikit daripada mengikut manhaj para ulama yang sebenarnya.
Kepentingan Mempelajari Ilmu Agama Daripada Ulama
Kita biasa mendengar suara-suara sumbang daripada golongan tertentu yang cuba sedaya-upaya untuk merendah-rendahkan keilmuan dan kemuliaan para ulama bagi menutup kelemahan dan kesalahan yang telah mereka lakukan.
Ada di antara mereka ini berkata bahawa para ulama bukanlah maksum sepertimana Rasulullah SAW lantas menyarankan agar tidak perlu mengikut tunjuk ajar daripada para ulama untuk memahami urusan agama Islam ini.
Mereka juga berkata bahawa boleh sahaja untuk mengambil terus dalil-dalil al-Quran al-Karim dan al-Hadis SAW dengan kefahaman sendiri dengan hanya merujuk kepada buku-buku tertentu.
Adakah tindakan ini bertepatan dengan Islam?
Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya. - Surah al-Nahl: Ayat 43
Imam Syatibi di dalam karyanya al-Muwafaqat telah menjawab persoalan ini dengan beliau menimbulkan persoalan mengenai bolehkah seseorang itu memperolehi dan mempelajari ilmu agama dengan kefahaman sendiri tanpa guru.
Beliau mempertahankan hujjahnya yang mengatakan betapa perlunya guru di dalam mendalami dan memahami sesuatu ilmu itu.
Imam Syatibi juga mengatakan bahawa para ulama telah berkata:
Sesungguhnya ilmu itu berada di dada-dada guru, kemudian dipindahkan ilmu tersebut ke dalam kitab. Maka kunci bagi ilmu tersebut tetap berada di tangan para guru.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesungguhnya Allah Taala tidak mencabut ilmu dengan menghilangkan ilmu daripada manusia akan tetapi Allah Taala mencabut ilmu dengan mematikan para ulama. - Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi
Menurut Imam Syatibi lagi, hadis ini bertindak sebagai hujjah bahawa guru adalah kunci bagi ilmu dan keperluan mempelajari ilmu daripada dada-dada guru.
Selain itu juga, bagi pelajar yang tidak faham sesuatu perkara yang dipelajarinya, mereka boleh terus bertanya kepada guru/ulama untuk mendapatkan penjelasan sehingga terang semuanya.
Sedangkan bagi yang belajar tanpa guru, kefahaman mereka amat terbatas berdasarkan buku yang ada di hadapan mereka semata-mata.
Boleh jadi kefahaman mereka itu betul dan besar kemungkinan juga kefahaman mereka itu salah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberikan rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberikan pahala akan empat orang. Pertamanya orang yang bertanya. Keduanya guru yang menjawab. Ketiganya orang yang mendengar jawapan itu. Keempatnya orang yang cinta kepada mereka - Riwayat Abu Nuaim
Kritikan Belajar Agama Tanpa Bimbingan Ulama/Guru
Sanggahan dan kritikan belajar tanpa bimbingan ulama/guru ini saya nukilkan daripada kata-kata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi. Kenyataan beliau ini diambil dari kitabnya al-Sahwah al-Islamiah Baina al-Jumud Wa al-Tatarruf, katanya:
Kebanyakkan daripada mereka tidak bertalaqqi dengan ahli ilmu dan syeikh-syeikh yang mempunyai pengetahuan khusus di dalam bidang tersebut.
Sebaliknya mereka hanya menelaah lembaran dan helaian kitab secara langsung tanpa membuka peluang dan tempoh untuk merujuk dan berbincang apa yang akan diambil dan ditolak pendapatnya untuk membolehkan dikenalpasti kefahaman itu dan pengetahuan yang diletakkan di dalam mensyarahkan secara mendalam.
Ini akan dibentangkan dan diperbahaskan ketika tempoh pengkajian.
Akan tetapi, malangnya mereka hanya membaca sedikit sahaja dan berdasarkan kefahamannya (yang sedikit) itu mereka mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum-hakam.
Barangkali mereka melakukan kesalahan ketika membaca, salah kefahaman atau juga salah di dalam mengistinbatkan hukum, tetapi mereka masih tidak mengetahui kesalahan mereka itu.
Beliau menambah lagi kenyataan itu:
Walaupun mereka ini ikhlas, namun hakikatnya mereka lupa bahawa ilmu syariat (agama Islam) dan kefahamannya perlu dirujuk kepada ahli ilmu berkenaan yang boleh dipercayai.
Sesungguhnya mereka tidak akan mampu merempuh lautan luas ini secara seorang diri tanpa pembimbing (ulama/guru) yang sentiasa memimpin tangan mereka.
Pembimbing inilah yang akan menerangkan kepada mereka apa yang tidak jelas dan istilah-istilah yang mempunyai kesamaran dan menerangkan dari cabang-cabang sehinggalah apa yang utama dan akan memperlihatkan segala kesamaran.
Pada akhir penerangannya mengenai perkara ini, beliau menegaskan lagi kenyataannya bahawa perlunya berguru untuk mempelajari ilmu agama, katanya:
Inilah (mempelajari ilmu agama dengan ulama/guru) merupakan apa yang telah dijadikan sebagai langkah berhati-hati oleh para ulama Salaf al-Soleh agar menjauhi dari mempelajari ilmu dengan cara seperti ini (tanpa berguru).
Mereka berkata: Janganlah mengambil al-Quran al-Karim hanya dengan mushafnya dan bukanlah ilmu itu diambil dengan hanya daripada mushaf (kitab).
Apa yang dimaksudkan dengan mengambil hanya daripada mushaf itu ialah menghafaz al-Quran al-Karim dari catatan-catatan pada mushaf tanpa bertalaqqi (mengambil dan belajar ilmu secara bersemuka dengan para ulama/guru) dengan mulut-mulut guru yang diyakini (keilmuannya).
Peringatan ini bermaksud mengambil ilmu daripada catatan-catatan semata-mata tanpa belajar daripada ahli ilmu.
Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi lagi di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd:
Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis, lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya.
Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang.
Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik.
Mereka juga tidak mempelajari ilmu Usul Fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan segala permasalahan.
Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik.
Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu.
Tidak Boleh Langsung Belajar Dengan Buku?
Walaupun saya menyeru kepada belajar ilmu agama dengan para ulama/guru yang diyakini, ini bukanlah bermakna saya menolak secara mutlak belajar melalui buku.
Cumanya belajar dengan buku tanpa guru perlu diberikan penelitian dan perhatian tentang keharusannya pada beberapa ketika.
Bagi mereka yang berada di peringkat permulaan dan menengah, maka sudah pastilah tuntutan mempelajari ilmu itu secara berguru lebih diutamakan memandangkan mereka tidak mempunyai asas yang kukuh tentang sesuatu ilmu itu.
Setelah mereka memahami dan mendalami segala asas-asas yang diperlukan dengan kukuh, barulah mereka harus membaca buku-buku yang berkaitan untuk menambahkan lagi pengetahuan.
Namun jika terdapat beberapa perkara yang kurang difahami atau wujud kesamaran ketika pembacaan, maka mereka dituntut semula untuk bertanya dengan ulama/guru.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan menuntut ilmu secara berguru, mereka juga diharuskan membaca buku-buku atau mendengar ceramah dan boleh juga membaca di internet untuk meningkatkan pengetahuan masing-masing.
Namun jika terdapat sebarang perkara yang kurang difahami, maka mereka mestilah merujuk juga kepada ulama/guru yang diyakini untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.
Ini kerana seseorang ulama/guru lebih memahami sesuatu ilmu itu berbanding dengan orang yang hanya membaca buku semata-mata sebagai rujukan.
Oleh itu, keutamaan dan kelebihan sudah pastilah berada pada mereka yang mempelajari ilmu agama secara berguru jika hendak dibandingkan dengan golongan yang mempelajari ilmu agama tanpa berguru.
Ini kerana menuntut ilmu agama dengan berguru merupakan jalan yang ditempuhi oleh generasi Salaf al-Soleh dan para ulama lain.
Manakala bagi mereka yang telah mendalami dan menguasai segala asas-asas ilmu, mereka sudah boleh membaca sendiri kerana mereka mampu memahami isi kandungan buku berkenaan berpandukan apa yang telah mereka pelajari daripada ulama/guru sebelum itu.
Penutup
Andaikata Islam menggalakkan belajar tanpa guru, mengapakah para ulama terdahulu sanggup merantau dan berpindah-randah demi untuk menuntut dengan ulama yang diyakini?
Bahkan mereka mempunyai ratusan guru yang terdiri daripada alim ulama muktabar, bukankah ini menunjukkan kepentingan berguru di dalam menuntut ilmu agama?
Mungkin ada yang berpendapat, zaman dahulu tidak mempunyai teknologi canggih sepertimana sekarang, disebabkan itulah mereka merantau untuk menuntut ilmu.
Jika benar kenyataan ini, mengapa pula Nabi SAW menyarankan umatnya untuk belajar (anak murid) dan mengajar (guru)?
Bukankah ini menunjukkan bahawa kepentingan menuntut ilmu agama secara berguru?
Tidak mungkin segala saranan Nabi SAW ini silap dan tidak mengikuti perkembangan zaman, bukan?
Berkata Muhammad bin Sirin (seorang alim di zaman tabien) sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Sahih Muslim karangan Imam Muslim:
Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka lihatlah dari siapa engkau mengambil agamamu!

Biodata Penulis

Ustaz Muhammad Rashidi Wahab (Buluh) merupakan salah seorang panel agama iLuvislam.com. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Hons) Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran al-Karim) dari Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau kini sedang menyambung pengajian Sarjana (MA) di Universiti Darul Imam Malaysia di dalam bidang Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam). - http://facebook.com/rashidi.buluh

copied from> http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/958-bolehkah-belajar-ilmu-tanpa-berguru.html

** baGaimana jika Allah menCinTai kiTa? **

Lazimnya andai kita mencintai atau merindui seseorang, kita mempunyai keinginan untuk memberitahu orang lain. Seboleh-bolehnya biar semua orang tahu bahawa kita sedang mencintainya. Hati merasa bahagia andai perasaan itu dapat dikongsikan bersama.
Melalui jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter, kita dapat membaca pelbagai luahan mereka yang sedang bercinta. Antaranya:
"Saya sayang abang."
"Saya rindu ibu."
"Saya cinta kamu semua."
Agaknya, bagaimana pula jika Allah mencintai seseorang?
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: "Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!" Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata: "Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia." Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini." (Hadis Riwayat Bukhari)
MasyaAllah! Lihatlah cinta Allah..Sungguh luar biasa hebat..
Ketika Allah mencintai seseorang, Allah yang Maha Agung tidak cukup dengan hanya mengatakan "Aku cinta si dia!"
Tetapi Allah memaklumkan kepada seluruh makhluk-Nya.
Apa kata Allah dalam hadis tersebut?
"Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!"
Maka Jibril pun membuat pengumuman :
"Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia."
Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini.
Oh Ar-Rahman Ar-Rahim, bahagianya mereka yang benar-benar dicintai Allah. Pasti hidup mereka sentiasa tenang dan diberkati.
Bayangkan jika semua pembaca iLuvislam.com disayangi Allah SWT. Pasti dunia ini dipenuhi dengan kebahagiaan.
Tidakkah kita mahu menjadi seorang yang benar-benar dicintai Allah?
Namun, selama ini, cinta siapa yang kita kejar?

** muQaddimaH **

Salam...
Ahlan wa sahlan...
Setelah menanti saat yang sesuai,akhirnya blog ni telah rasmi disiapkan hari ini...
16 Zulkaedah 1431H bersamaan 24 Oktober 2010...
Di sinilah tempat di mana ana berkongsi cerita hati dan ilmu yang diharapkan bermanfaat buat semua yang sudi melawat dan berkunjung ke laman blog ana ini...InsyaAllah...
Kepada para blogger,
sudi-sudilah berkunjung dan mengikuti ceritera di laman blog ana ini...
Wassalam...(^^)